Thursday 19 January 2012


Fadhilat Membaca Surah Yassin. Sudahkah anda semua membacanya?

Rasullulah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

Bacalah surah Yassin kerana ia mengandungi keberkatan, iaitu :

Apabila orang lapar membaca surah Yassin, ia boleh menjadi “kenyang”.
Jika orang tiada pakaian boleh mendapat “pakaian”.
Jika orang belum berkawin akan mendapat jodoh.
Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.
Jika “terpenjara” akan dibebaskan.
Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.
Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya.
Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia, Allah meringankan seksanya.
Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.
Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar dari pada penyakitnya.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati Al- Quran itu ialah Yassin. Barang siapa membaca surah Yassin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca Al- Quran sebanyak 10 kali.

Sabda Rasulullah S.A.W lagi, “Apabila datang ajal orang yang suka membaca surah Yassin pada setiap hari,turunlah beberapa malaikat berbaris bersama malaikat Maut. Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya”.

Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yassin sehingga datang Malaikat Ridwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.

Rasulullah S.A.W bersabda selanjutnya: “Siapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yassin dan rakaat kedua Tabaroka, Allah jadikan setiap huruf cahaya dihadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya ditangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya, tetapi barang siapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang – orang yang munafik

Saturday 15 October 2011

TANDA-TANDA HATI KITA KERAS:



Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan. Ia juga adalah tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil serta ketenangan dan kebimbangan.

Hati merupakan sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.

Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutamanya malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunat.

Allah telah menyifatkan kaum munafik dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali. Mereka juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya.

Sedangkan Allah S.W.T memberikan peringatan, "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat

Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego, individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

Wednesday 3 August 2011

ROH DI BULAN RAMADHAN


Apabila tiba bulan Ramadhan, semua roh berkumpul di Luh Mahfuz memohon kepada Allah S.W.T untuk kembali ke bumi. Ada roh yang dibenarkan pulang ke bumi dan ada yang tidak dibenarkan. Roh yang dibenarkan pulang adalah kerana amalan baik mereka semasa hayat mereka ataupun ada penjamin-penjamin yang mendoakan mereka. Manakala roh-roh yang tidak dibenarkan pulang disebabkan kesalahan mereka semasa hayat mereka akan terus di penjara di Luh Mahfuz.

Apabila roh dibenarkan pulang, perkara pertama yang mereka lakukan adalah pergi ke tanah perkuburan untuk melihat jasad mereka. Kemudian mereka akan pergi ke rumah anak2 mereka, orang yang mendapat harta pusaka mereka dan ke rumah orang yang mendoakan mereka dengan harapan orang yang mereka lawati itu memberi hadiah untuk bekalan mereka. Perkara ini akan berlarutan sehinggala tibanya Hari Raya Aidilfitri. Pada saat ini mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada jasad dan pulang semula ke Luh Mahfuz dengan bekalan yang diberikan oleh mereka2 yang masih hidup.

Di sini diberitahu hikmah adanya alam kubur. Alam kubur membuktikan bahawa Allah itu Maha Penyayang. Orang yang melakukan kesalahan semasa hayatnya boleh dibantu dengan doa orang2 yang masih hidup. Alangkah bahagianya jika seseorang yang telah meninggal dunia masih mendapat bekalan dari orang-orang yang masih hidup.

Oleh itu wahai sahabatku, jangan biarkan orang-orang yang kita sayang, yang mengadap Allah terlebih dulu daripada kita sepi tanpa doa dan sedekah daripada kita. Sesungguhnya apabila mati seseorang anak adam itu, terputus ia semua hal kecuali 3 perkara iaitu doa anak2 yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah amal jariah.

Sebarkan hal ini kepada seberapa ramai orang terdekat anda, dan mintalah mereka untuk melakukan hal yang sama. Yang jelas jika anda tidak meneruskan hal ini, maka anda telah melepaskan kesempatan untuk saling menasihati dalam kebenaran dan beramal soleh. Jika anda melakukan dengan ikhlas insya Allah anda akan mendapat ganjaran pahala kebaikan dari Allah. Mari berlumba dalam kebaikan.

Thursday 28 July 2011


mari kita renung sejenak kisah ini,pilu dan sedih mengenangkan keikhlasan seorang wanita yang bergelar ibu.Marilah kita bermuhasabah bagi yang masih mempunyai ummi mahupun ummi yang telah aman di alam haribaan Ilahi



Saya ingin kongsikan pula pengalaman seorang anggota bomba yang sering berhadapan dengan keadaan gawat lewat kemalangan ngeri dan bunyi geruh nafas akhir serta wajah-wajah kematian. Saya kongsikan cerita beliau;



Pada satu kemalangan dahsyat di lebuh raya yang melibatkan sebuah kereta, sepasang suami isteri dan seorang bayi. Kereta yang dinaiki mereka telah hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan dengan hentaman maksima. Kereta remuk sepenuhnya. Di tempat duduk pemandu, si suami telah terkulai, badannya terlungkup pada stering dia mati dengan kecederaan teruk pada tubuh dan kepalanya.
Di sebelahnya pula si isteri sedang bergelut dengan kematian, tubuhnya tersepit di situ terkapit di antara tempat duduk dengan keluli pejal kemek seperti ragum maut yang menggigit rapat.


Alangkah sukarnya saat itu, pada pipinya tertusuk-tusuk kaca cermin hadapan yang pecah, sedang kulit dahinya terkoyak sehingga menampakkan putih tulang tengkoraknya kesan tujahan keras dan hantukan kuat semasa titik hentaman berlaku. Tulang bahu kanannya pula patah , tulang itu tercungkil keluar mengoyakkan daging dan kulit bahunya, tangannya terkulai.


Pada saat ini ketika darah merah pekat mencucur keluar dari tubuhnya dan kesakitan tidak mampu dibayangkan dengan kata-kata, dengan isyarat longlai dia meminta pada bomba untuk diberikan padanya anaknya yang terselamat, bayi itu masih dalam bedungan sedang menangis kuat . Si Ibu dengan lelehan air mata bercampur darah, dalam tangisan pilu penuh sayu mendakap anaknya seakan tidak mahu berpisah dengan jantung hatinya . Dalam seribu kepayahan, si ibu pada saat itu menyingkap bajunya dan menyusukan anaknya. Dalam saki baki nafasnya itu ia memeluk anaknya, merangkul erat dan disuapkan lautan kasih sayang dalam aliran air susunya kepada mulut comel yang rakus menyusu.


Kasih ibu seputih susu sebening firdausi. Dalam nafas sukar itu dada si ibu berombak-ombak, nafasnya tersekat-sekat…sesaat kemudian dia memejamkan matanya yang menangis, roh berangkat pergi buat selama-lamanya. Meninggalkan anaknya bersama tangisan memanjang dalam episod kasih yang tidak kesampaian….


Drama ini menitipkan secebis kisah ajaib tentang kasih seorang ibu pada anaknya. Sekali lagi alangkah tragis kisah ini, ia begitu menyayat rasa.Dalam nafas yang dalam saya berfikir tentang harga kasih seorang ibu. Luasnya Rahmat Ilahi.


Begitulah seorang ibu, Allah memberikan mereka ‘rahim’ kerana mereka kaya dengan kasih sayang . Dalam belaian mereka kita bernafas, dalam kasih mereka kita bernadidan dalam pengorbanan mereka kita ada pada hari ini.

Hukum alam mewartakan, ketika kita sedang berada di puncak putaran hidup, mereka pula meratah usia kian tua. Mereka tidak lagi bernafsu untuk makan atau hiburan lain sepertimana kita, kegembiraan begitu tercatu buat mereka pada usia begini.


Namun mereka punya memori indah dengan kita. Kita yang digomol sewaktu kecil sehingga dengannya kita tidak merasa kesunyian. Ketika demam mereka tidak tidur sepanjang malam berjaga. Ketika ketakutan mereka memeluk erat menenangkan kita sehingga boleh melelapkan mata. Ketika dalam proses membesar, kita meminta itu dan ini. Kita mungkin mendapat semua atau sebahagiannya, tetapi kita tidak pernah tahu cerita di sebalik semua itu mungkin ada kesukaran yang tak diceritakan .


( Saya pernah terjumpa seorang ibu yang menangistersesak- esak di sebuah masjid kerana tidak punya wang yang cukup untuk membayar yuran yang diminta oleh anaknya sedang dia tidak punyai jumlah wang itu dan dia tidak memberitahukan ini kepada anaknya...) Itulah yang mereka ada, memori indah bersama kita.

Tetapi malangnya memori itu hanya di pihak mereka sedangkan kita tidak mengingatinya lagi kerana sedang sibuk dengan urusan dunia yang tak pernah habis-habis.


Di titik perselisihan inilah menjadikan mereka terabai. Mereka melalui hari-hari yang kosong tanpa ingatan anak-anak, melalui malam-malam sepi tanpa sinar belaian cahaya mata dan mereka berada di penjuru dunia yang terasing membilang saki baki hari dengan butir tasbih sunyi sebelum berangkat pergi ke daerah barzakh di alam lain buat selama-lamanya. Peritnya mereka di penghujung usia sedang warna hidup kita meriah sekali dengan derai tawa ria rakan-rakan dan limpahan kesenangan yang gemerlapan. Marilah dengan jujur bertanya,


bilakah kali terakhir kita menghubungi mereka?


Bilakah kali akhir kita mendoakan mereka setulus hati?


Bilakah kali akhir kita menuturkan sayang dan rindu pada mereka ?


Bilakah kali akhir kita ambil berat tentang masalah mereka ?


Bilakah kali akhir kita berjenaka dan mereka ketawa ?


Bilakah kali akhir mereka bercerita sedang kita mendengar dengan tekun dan mereka seperti tidak mahu mengakhirinya kerana pendengar itu sangat berminat untuk mendengar ?


Bilakah kali terakhir kita bersalaman untuk pulang, mereka memeluk dan di dalam hati mereka ada getar begitu sukar melepaskan kita pergi?


Carilah jawapan dalam selaut rasa, biarkan hati yang berbicara bukan sesiapa memaksa, semoga nanti kita menghargai sesuatu yang paling bernilai...hati seorang ibu dan perasaan seorang bapa!


(Apakata... selepas membaca artikal ini kita hubungi mereka dan tuturkan sayang dan rindu, ketika waktu masih mengizinkan untuk itu...)


Di sebalik semua ini adalah mencari redha mereka, di sana ada redha Ilahi dalam jambangan ketenangan yang hakiki.

Bagaimana mungkin redha Ilahi diraih sekiranya syarat mendapat redhaNya tidak dipenuhi? Bagaimana mungkin Allah menilai sayang kepadaNya sedangkan kepada insan yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi kitapun tidak kita endahkan? Bagaimana Allah akan memberi keredhaanNya dalam hidup ini sedangkan airmata seorang ibu tidak pernah kering mengalir, luka hatinya tidak pernah sembuh disayat sembilu?


Jawapan kepada semua persoalan itu adalah sebuah pemburuan yang menentukan perkara yang terpenting di dalam hidup ini; Sebuah keredhaan Allah sebuah ketenangan hakiki!

Salam kasih sayang.

Thursday 21 July 2011


ASSALAMUALAIKUM. Apa khabar hari anda? Apa cerita Jumaat anda? Ya, hari ini hari Jumaat. Hari untuk kita mendapatkan lebih success dalam hidup kita. Hari untuk kita lebih cemerlang, lebih kuat berbanding hari-hari yang lain.
Jadi, apa pun yang anda buat pada hari ini, pastikan itu adalah yang terbaik, yang terhebat untuk diri anda sendiri. Kalau selalu bangun pagi sepuluh minit lagi ke waktu subuh, maka jadikanlah Jumaat untuk anda lebih berjaya.
Jadikan Jumaat untuk lebih special daripada hari-hari yang lain. Buat janji, bahawa Jumaat aku mesti bangun tiga puluh minit sebelum ke waktu subuh. Hah, kan bagus.
Hari ini saya nak cerita sedikit tentang hebatnya dan kelebihan-kelebihan hari Jumaat. Moga anda di luar sana memperoleh manfaat, saya yang menulis juga lebih-lebih lagi mendapat faedahnya.
Jadi 6 kelebihan Jumaat akan saya senaraikan. Semoga Jumaat kali ini menjadikan kita lebih berjaya, lebih cemerlang!

1. Berlakunya hari kiamat.
Ya, Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya hari kiamat. Dalam suatu hadis riwayat Muslim, Nabi SAW ada menyebut bahawa, “Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”

2. Nabi Adam diciptakan dan dia juga disingkirkan dari syurga.
Hari Jumaat memang istimewa. Hari ini nabi Adam diciptakan, dan hari ini jugalah beliau diturunkan daripada syurga.
Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.”

3. Penghulu segala hari.
Saya suka sebut Jumaat ni special. Kenapa ya? Jumaat ini adalah hari yang sangat-sangat istimewa kerana agama kita sendiri yang meletakkan Jumaat itu ketua dan lebih sedikit ganjarannya berbanding hari-hari yang lain.
Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

4. Selamat dari fitnah kubur bagi yang mati pada hari Jumaat.
Menurut Nabi SAW, “Tidak seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah daripada fitnah kubur.”
Jadi, sama-samalah kita berdoa moga-moga Allah memilih kita di kalangan manusia-manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah ini.

5. Kebaikan dengan memotong kuku.
Peliharalah kebersihan anda. Kalau boleh, Jumaat ni bagi lebih-lebih lagi. Mana yang dah lama tak potong rambut, maka potonglah. Kasi kemas. Kalau kuku dah rasa mula nak panjang, hah potonglah.
Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

6. Makbulnya doa di antara dua khutbah.
Yang ini pun kita dah selalu dengar. Daripada zaman sekolah lagi mungkin ramai yang telah diberitahu akan perkara ini. Baca doa ketika imam sedang duduk antara dua khutbah selalunya makbul doanya tu. Ya, kan?

Banyak ulamak yang berpendapat bahawa makbulnya doa yang dibaca di antara dua khutbah, iaitu ketika imam sedang duduk antara khutbah pertama dan khutbah kedua.
Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah yang bermaksud, “Pada hari Jumaat ada satu saat yang bertepatan dengan orang Islam ketika dia sedang sembahyang, di mana tatkala ia berdoa maka doanya itu akan dimakbulkan.” Dan rasulullah menunjukkan isyarat tangannya yang membawa maksud sedikit sahaja waktu itu.
Abi burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a berkata bahawa beliau pernah mendengar bahawa Abdullah bin Umar r.a pernah mendengar bahawa Rasulullah pernah menjelaskan bahawa waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai didirikan.
TUAN, puan, abang, kakak dan adik-adik semua, marilah kita jadikan Jumaat kita kali ini lebih bererti. Bukannya apa, untuk kebaikan kita juga. Semua kelebihan yang ada pada Jumaat ini sebenarnya merupakan ruang dan peluang untuk kita rebut.
Kita mengaku kita orang Islam. Kita pun mengaku bahawa kita ni mengamalkan segala suruhan agama. Jadi, apalah salahnya sedikit amalan yang nampak macam tak seberapa ini kita rebut.
Kalau rasa-rasa selalunya macam malas nak selawat, macam tak ada mood nak berzikir, maka jadikanlah hari Jumaat untuk anda lebih bersemangat unttuk berselawat, berzikir, istighfar dan sebagainya.
Nabi sendiri ada menyebut barangsiapa yang banyak beristihfar, Allah akan bagi jalan keluar bagi setiap masalah yang dihadapinya.
Mari kita jadi lebih baik, sedikit pun tak apa. Asal kita jadi lebih baik. Kita usaha, kita cuba betul-betul. Mana tahu andai Allah juga bakal tarik nyawa kita di hari Sayidul aiyam ini. Subhanallah…

Tuesday 19 July 2011

Enam persediaan kita untuk menyambut ketibaan bulan ramadhan

RAMADAN yang kita tangisi pemergiannya hampir setahun lalu kini bertandang lagi. Kita yang beriman dan yakin pada janji Allah menanti kehadiran bulan penuh berkat ini dengan pelbagai perasaan.
Seronok dan bimbang. Seronok kerana diberi peluang berjumpa dan beramal dengan bulan yang penuh berkat. Bimbang kerana kurang yakin ibadat maksimum akan dapat dilaksanakan. Risau, takut amal tidak membuahkan takwa yang diharapkan.
Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadan bukan lagi satu rahsia. Allah sudah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat, iaitu detik turunnya kitab suci paling agung. Kitab yang diturunkan khusus untuk memimpin tangan manusia ke jalan yang benar.
Ramadan juga mencatat sejarah gemilang kemenangan golongan yang membawa panji kebenaran ke atas golongan mustakbirin yang mempunyai kekuatan material tiga kali ganda dalam Ghazwah Badar al-Kubra.
Ketibaan bulan mulia penuh sejarah ini sewajarnya disambut dan diraikan dengan acara gilang-gemilang. Oleh itu, ketibaannya perlu disambut dengan beberapa persediaan yang cukup selain mengikhlaskan pengabdian kepada Pencipta Yang Maha Esa.
Ketibaan sekali lagi Ramadan, untuk kita memperbetulkan diri, meningkatkan iman dan mempersiapkan kekuatan serta bekalan. Seperti doa diajarkan Rasulullah SAW kepada kita. Apabila Rasulullah SAW melihat anak bulan Rejab, Baginda membaca bermaksud:
“Ya Allah, rahmatilah kami dengan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kepada kami Ramadan.” (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad)
Betapa besar kurniaan Allah kepada kita pada Ramadan, di mana Rasulullah SAW sudah mengajarkan kita berdoa supaya kita dihidupkan hingga sampai Ramadan, supaya bulan itu dimanfaatkan untuk kita menjadi seorang hamba yang patuh kepada-Nya.
Bagi pejuang spiritual, peluang mengecapi Ramadan sememangnya ditunggu-tunggu. Apabila tamat Ramadan tahun lepas, kita iringi pemergiannya dengan tangisan penuh ketakwaan dan air mata keinsafan.
Bulan itu bukan sekadar nikmat, tetapi penuh ujian serta peluang melipat gandakan amal dakwah mendekatkan kita pada jalan Allah. Persediaan dan perancangan perlu dilakukan untuk memaksimumkan segala peluang pada Ramadan ini.
Kita maklum, sebarang amal kebajikan yang dilakukan akan diberi balasan berganda. Martabat pahalanya lebih tinggi jika ia dilakukan pada Ramadan. Sunat diberikan pahala wajib, yang wajib digandakan dengan gandaan berdasar keredaan kurniaan Allah.
Ketika Ramadan menjelang, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)

Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadan ialah :
• Persediaan diri untuk berpuasa. Seminggu sebelum berpuasa kita dikehendaki mengurangkan kadar makanan kita dan lebihkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan pembuangan air besar lawas.
• Memahirkan diri dengan segala rukun, sunat, harus, makruh yang berkaitan dengan puasa pada Ramadan, sunat tarawih dan lain-lain lagi.
• Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajud, mendekatkan diri pada Allah. Sebagai persediaan membiasakan tarawih dan tahajud pada Ramadan. Ramadan adalah bulan rukuk dan sujud.
• Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah. Bagi mereka yang sudah akil baligh, maka belajarlah membayar zakat fitrah sendiri.
• Rancang strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan, bacaan, tadabbur, tadarrus al-Quran.
• Melatih dan membentuk diri bersifat mahmudah, sifat terpuji seperti sabar, membanyakkan senyuman kepada sahabat dan kerabat. Merendam sifat mazmumah, sifat keji seperti memfitnah, mengumpat dan mengata orang. Kurang bercakap lagha (merapu), tidak berbahasa lucah, kotor dan keji.
Oleh itu, dengan persediaan ini kita sematkan azam masing-masing untuk mencantikkan dan sempurnakan amalan fardu yang wajib dan membanyakkan amalan sunat pada Ramadan.

Friday 15 July 2011

Khasiat Kurma, Kismis & Madu

Sabda Rasulullah SAW: "Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya."

KEBAIKAN KURMA KETIKA MENGANDUNG DAN BERSALIN

Adalah amat baik sekali jika puan mengamalkan memakan buah kurma semasa mengandung kerana ini akan memudahkan bersalin nanti. Semasa bayi dilahirkan, buah kurma juga dicalitkan sedikit di lelangit bayi.

Ingat tak kisah dimana Maryam hanya memakan buah kurma semasa melahirkan Nabi Isa AS.

Buah kurma tidak mengandungi gula yang membahayakan malah ia merupakan makanan Rasulullah SAW.

Puan janganlah risau kerana takut diserang kencing manis. Apa yang harus puan buat, makanan-makanan manis yang lain puan jauhkanlah.

Buah kurma tidak membahayakan kesihatan kerana ianya mengandungi banyak khasiat.

1) KURMA


Nabi Muhammad SAW bersabda: "Rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, akan menyebabkan penghuninya kurang sihat".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Berilah makanan kurma pada wanita yang hamil sebelum dia melahirkan, sebab yang demikian itu akan menyebabkan anaknya menjadi seorang yang tabah dan bertaqwa (bersih hatinya)".

Abu Abdillah berkata: "Buah kurma adalah salah satu buah yang berasal dari syurga dan dapat mensirnakan pengaruh sihir".

Abu Abdillah berkata: "Orang yang memakan 7 buah kurma yang baik sebelum sarapan, maka pada hari itu dia tidak akan tertimpa racun, sihir dan tidak diganggu syaitan".

Imam Ja'far Ash-Shadiq berkata: "Barangsiapa memakan 7 buah kurma yang baik, maka cacing-cacing yang ada di perutnya akan mati".

2) KISMIS


Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa memakan kismis merah sebanyak 21 biji setiap hari sebelum sarapan pagi, maka dia tidak akan tertimpa penyakit kecuali kematian".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan (empedu/cairan kuning), menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih".

Imam Ali berkata: "Barangsiapa memakan 21 biji kismis merah, maka dia tidak akan melihat pada jasadnya suatu yang tidak disenangi".

Imam Ali berkata: "Kismis dapat menguatkan jantung, menghilangkan penyakit, menghilangkan panas dan memulihkan kesihatan jiwa".

Pada riwayat lain dari Abi Ja'far At-Thusi disebutkan bahawa kismis dapat menghilangkan lendir dan menyihatkan jiwa".


3) MADU


Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa minum madu setiap bulan dengan niat melakukan nasihat Al-Quran, maka Allah SWT akan menyembuhkannya dari 77 penyakit".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barangsiapa ingin memiliki hafalan yang kuat hendaklah dia meminum madu".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sebaik-baik minuman ialah madu kerana dia dapat mengkonsentrasikan hati dan menghilangkan dingin yang ada di dalam dada".

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Allah SWT telah meletakan berkat di dalam madu dan menjadikannya sebagai ubat dari rasa nyeri, dan madu telah didoakan oleh 70 Nabi".

Dari Imam Ali, beliau berkata: "Madu adalah ubat dari segala penyakit, tiada penyakit di dalamnya, ia dapat menghilangkan lendir dan membersihkan hati".

Dari Imam Ja'far Ash-Shadiq, beliau berkata: "Rasul SAW sangat menyenangi madu".

Dari Imam Ja'far Ash-Shadiq, beliau berkata: "Biasakanlah dirimu memperoleh dua ubat iaitu meminum madu dan membaca Al-Quran".


Wallahu a'lam.